Nuba’ Laya adalah sejenis makanan yang dibungkus di dalam sejenis daun yang dikenali dengan nama daun long bagi masyarakat iban manakala untuk Kelabit digelar “isip” atau “itip”. Mungkin nama lain bagi Nuba’ Laya ini adalah nasi lenyek atau boleh dikatakan ianya hampir menyerupai apa yang sering disajikan di restoren makanan segera iaitu “kentang lenyek” atau “mashed potato” di dalam Bahasa Inggeris. Cuma perbezaannya ianya berasaskan nasi bukannya ubi kentang.

Cara pembuatannya hampir lebih kurang sama untuk kita memasak nasi Cuma mungkin untuk nasi dari beras bario enak jika dimasak dengan menggunakan dapur kayu. Pada tempoh tertentu kebiasaannya nasi yang hampir masak akan dilenyekkan dengan menggunakan perkakas dapur yang dikhaskan. Sesudah ia hancur dan masak sepenuhnya barulah ia akan digumpal-gumpal dan diletakkan di dalam bungkusan daun.

Diceritakan bahawa makanan Nuba’ Laya ini sudah menjadi sebahagian daripada menu tradisi masyarakat Kelabit berkurun lamanya. Inilah antara menu wajib yang sering dibawa untuk bekalan ke bendang ataupun pergi berburu suatu waktu dahulu. Dengan kaedah tradisional menyebabkan Nuba’ Laya ini boleh bertahan selama dua ke tiga hari walaupun tidak disimpan di dalam peti sejuk.

Dahulu mungkin ianya makanan tradisional yang hanya dikenali di kalangan masyarakat Kelabit namun sekarang inilah antara makanan tradisi yang sentiasa menjadi dambaan pelancong yang singgah di Bario. Ianya juga turut mudah dibawa untuk buah tangan keluarga yang tinggal jauh dari kampung halaman. Sesuai untuk dimakan dengan apa sahaja lebih-lebih lagi dinikmati bersama makanan tradisi Kelabit yang lain seperti daging salai, ikan salai serta banyak lagi.